Istiadat Permasyhuran Yang di-Pertuan Agong ke-13 Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13

Pada 13 Disember 2006, Tuanku Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah berangkat dengan pesawat khas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ke Istana Negara untuk menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Di bangunan Parlimen, Sultan Mizan disambut oleh dengan Istiadat Kawalan Kehormat. Turut mengiringi ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Abdullah bin Md. Zin serta ahli-ahli kabinet yang lain beserta pasangan masing-masing.

Baginda kemudian berangkat ke Istana Negara, di mana Istiadat Permasyhuran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 telah diadakan. Jam 11.50 pagi, berlangsunglah Mesyuarat Majlis Raja-Raja (Khas) yang ke-209 sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan oleh Sultan Mizan dan Sultan Abdul Halim.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja (Khas) yang ke-209 dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Balairong Seri Istana Negara. Doa selamat dibaca oleh Pemangku Imam Besar Masjid Negara, Abdul Rahman Yusof. Kemudian, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Engku Ibrahim Engku Ngah menyembah surat sumpah jawatan kepada Sultan Mizan.[2]

Sultan Mizan melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong. Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menjadi saksi surat sumpah jawatan. Seterusnya, Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah melafazkan sumpah jawatan, menandatangani surat sumpah jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Sultan Kelantan dan Sultan Selangor sekali lagi menjadi saksi surat sumpah jawatan.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membaca perisytiharan bahawa Sultan Mizan telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dan Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Bacaan doa penutup dilaksanakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi bin Wan Teh.

Kesemua sembilan Raja Melayu atau wakil-wakil baginda serta empat Yang di-Pertua Negeri turut hadir. Menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, menteri-menteri kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan turut hadir.

Siaran langsung oleh RTM disiarkan ke seluruh negara melalui TV1.